PERTANIAN BUMBUNG – lihat ke atas, mungkin ada tanaman sayur-sayuran di atas bangunan di KL atau Putrajaya.
(zaidah othman/idris bald)
(zaidah othman/idris bald)
Bagi kita penduduk kota, untuk melawat ke sebuah ladang sayur-sayuran memerlukan perjalanan ke kawasan luar bandar. Pernahkan anda terfikir untuk menaikki lif yang hanya beberapa minit untuk ke bumbung bangunan moden untuk tujuan itu? Pemandangan ini bukan sesuatu yang pelek bagi negara maju seperti Jepun, Hong Kong, Australia atau New York.
Salah sebuah ladang pertanian bumbung terbesar di dunia adalah Brooklyn Grange, kota New York yang boleh dianggap sebagai kota pertanian bandar antarabangsa. Ianya menempatkan ladang bumbung yang lengkap dengan rumah-rumah hijau yang mampu mengeluarkan dan menjual lebih 18,000 kilogram sayur-sayuran dan buah-buahan organik kepada masyarakat tempatan dan restoran-restoran yang dilakukan menerusi jualan ladang mingguan.
Dengan pertumbuhan pembangunan yang pesat dan pertambahan jumlah penduduk bandar terus meningkat saban tahun, pertanian bandar dilihat boleh membantu menyediakan bekalan makanan kepada penduduk tanpa meningkatkan kos dan pencemaran pengangkutan makanan. Salah satu alternatif adalah mengubah suasana bumbung bangunan yang selama ini dibiarkan kosong tanpa penyelenggaraan atau lanskap bunga-bungaan yang kaku kepada landskap tanaman berfaedah.
Di negara kita, pertanian bumbung mungkin sesuatu yang baru untuk diperkatakan. Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melihat industri makanan perlu diperluaskan bukan sahaja di kawasan luar bandar tetapi juga dipinggir dan pusat bandar dan kota. Jabatan Pertanian telah dipertanggungjawabkan untuk menjalankan perancangan dengan menubuhkan satu bahagian khusus iaitu Bahagian Pertanian Bandar.
Bahagian Pertanian Bandar merupakan bahagian baru di bawah struktur organisasi Jabatan Pertanian menfokuskan kepada program pertanian yang melibatkan komuniti bandar dan sekitarnya. Ini bagi membolehkan aktiviti-aktiviti pertanian untuk mengeluarkan sumber makanan sendiri bagi mengurangkan kos sara hidup dan menampung keperluan harian. Selain itu, aktiviti ini dapat menambah baik dan mengindahkan landskap kawasan kediaman, pejabat, sekolah serta institusi terlibat.
Bagi menjayakan program dan aktiviti ini, beberapa aktiviti dan projek pertanian bandar telah dilaksanakan di kawasan terhad. Antaranya, kebun/laman komuniti, kebun/laman edible, pertanian bumbung secara amalan pertanian biasa , fertigasi, vertical/wall farming dan lain-lain teknik.
Bagi merealisasikan program ini, Ibu Pejabat Pertanian Putrajaya telah memulakan langkah sebagai contoh kepada masyarakat umum dengan mengubah keadaan landskap tanaman hiasan di Aras 17 bangunannya kepada landskap pertanian bumbung.
Kawasan landskap yang juga menempatkan pejabat Ketua Pengarah ini telah diubah dengan penanaman pelbagai jenis sayur-sayuran seperti sawi, kobis, salad, kangkong, bayam, tomato, cili, bendi dan lain-lain. Semua tanaman ditanam di dalam pasu, tray, bekas-bekas terpakai seperti botol-botol minyak, botol air mineral, kotak polistyrin, tayar terbuang dan sebagainya.
Selain dari itu tanaman pokok-pokok buah-buahan dalam pasu seperti limau, jambu air, jambu batu, pokok bidara termasuk tanaman pokok-pokok herba. Laman seluas 4800 kaki persegi yang dahulunya kaku, telah berubah menjadi landskap atas bangunan bukan sahaja kelihatan menarik malah dapat menghasilkan pelbagai sayur-sayuran organik yang sudah pasti selamat dimakan.
Laman yang diberi nama Laman Direktorat ini adalah hasil inspirasi Ketua Pengarah Pertanian, YBhg. Dato’ Ahmad Zakaria bin Mohamad Sidek sendiri. Pertanian bumbung ini bertujuan untuk menyampaikan nilai dan manafaat makanan keluaran tempatan bersesuaian dengan dapur masyarakat Malaysia. Selain dari itu, tanaman di laman ini menggunakan kaedah pengurusan tanaman secara organik yang berkonsepkan ‘dari kebun ke meja makan’ dan ‘makan apa yang ditanam lebih selamat’.
Laman direktorat juga mempamerkan model pertanian mudah di atas bumbung atau di kawasan yang terhad. Antaranya model yang dipamerkan adalah amalan pertanian biasa, mini fertigasi, psikiponik (gabungan tanaman sayur dan peliharaan ikan) dan Nutrient Film Technique (NFT). Contoh model ini sesuai dipraktikan dan digunapakai oleh masyarakat warga bandar yang tinggal di apartment, kondominium, rumah pangsa dan rumah-rumah teres.
Selain itu, usaha pertanian bumbung di Aras 17 Jabatan Pertanian ini akan dijadikan contoh dan promosi kepada pemilik bangunan-bangunan yang terdapat di sekitar Putrajaya khususnya dan seluruh bandaraya Kuala Lumpur dan lain-lain bandar di negara ini. Kini, tidak mempunyai kawasan atau tanah untuk bercucuk tanam bukan lagi alasan untuk masyarakat bandar untuk tidak bercucuk tanam.